Wednesday, January 06, 2010

Kembali Sekali Lagi

Assalamualaikum wbh
1. Enam bulan berlalu sudah. Kesibukan dan kekangan masa membuatkan saya sekali lagi harus "bercuti" dari menulis. Maafkan saya.
2. Saya berjanji akan cuba sedaya upaya untuk terus menulis. Saya berharap anda sekelian bersabar dan terus memberikan sokongan. Jumpa lagi.

Friday, June 12, 2009

SISTERS IN ISLAM

  1. PAS mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengharamkan Sisters In Islam (SIS).
  2. Yang peliknya, DAP yang kita kenali selama ini musuh dan anti Islam begitu beria-ia mempertahankan SIS, atas alasan Hak untuk bersuara dan berpersatuan.
  3. Pelik bin Ajaib. Perkara macam ini pun DAP nak campurtangan. Atau sememangnya ada agenda lain? Kita semua tahu bahawa SIS memang "berkawan rapat" dengan Pakatan Rakyat, Islam Liberal (sejak bila pula ujud bermacam jenis Islam) yang didokong oleh SIS mungkin juga lebih disenangi Pakatan Rakyat yang kononnya memperjuangkan ketuanan Rakyat.
  4. Sejak awal penubuhan SIS, saya tidak pernah bersetuju dengan sebarang pendirian dan pandangan pertubuhan tersebut. Pada saya, konsep Islam Liberal yang ingin dibawa oleh SIS seperti ada yang tidak kena. Saya bukanlah alim ulamak yang mampu untuk menjatuhkan sebarang hukum, tetapi dari pemerhatian saya, konsep Islam Liberal ini terdapat beberapa tindakan, kenyataan dan pendirian SIS yang mempertikai dan mempersoalkan hukum Allah. Maafkan saya sekiranya pandangan saya ini salah.
  5. Mungkin Hj Hadi dan PAS telah menyedari hakikat ini, hakikat yang kita, orang UMNO belum nampak (atau pura-pura tidak nampak disebabkan kepentingan politik). Mungkin juga ada kebenaran dan justifikasi terhadap desakan PAS, cuma kita saja yang enggan mengaku bahawa gerakan "memodenkan" Islam yang dibawa SIS ini amat merbahaya jika tidak dibendung. Apatah lagi golongan muda Islam Malaysia mudah untuk tertarik dengan gerakan SIS yang kononnya membawa pemodenan, liberasasi, dan memperjuangkan hak wanita Islam yang "selama ini tertindas oleh hukum Allah".
  6. Saya mencadangkan agar Majlis Fatwa, ataupun pihak JAKIM membuat siasatan dan kajian yang telus, jujur dan terperinci bagi sekurang-kurangnya memahami apa itu SIS yang sebenarnya. Pertubuhan ini membawa nama Islam, dan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan dan menyatakan pendirian.
  7. Walaubagaimanapun, tindakan PAS untuk mendesak Majlis Fatwa tidaklah boleh disokong. Tanpa bukti kukuh, hanya modal air liur sahaja untuk menarik perhatian umum ketika menyampaikan ucapan tidak dapat untuk menjustifikasikan desakan tersebut.
  8. Begitu jugalah dengan kita, saya berharap pemimpin-pemimpin UMNO tidaklah terlalu memberikan komen menyokong SIS. Bawalah bersabar, jangan kerana isu ini dibangkitkan oleh PAS, maka kita terus melompat untuk menyerang balas (ooopss... dah terlewat rupanya). Fahamilah dulu apa yang tersirat.
  9. Akhir sekali, saya mencadangkan kepada pihak SIS, tukarlah nama pertubuhan anda. Pakailah nama apa pun, Sisters In Solidarity, atau apa saja. Janganlah gunakan perkataan Islam, kerana saya percaya adik-adik dan puan-puan serta cik-cik semua tak akan terpikul tanggungjawab yang begitu berat untuk kononnya berjuang atas nama ISLAM dalam pertubuhan anda.

Wednesday, June 10, 2009

ENGLISH AS A SECOND LANGUAGE

  1. Seluruh negara memperkatakan perihal Bahasa Inggeris kebelakangan ini. Bermacam kenyataan, cadangan, permintaan dan juga tuntutan dari pelbagai pihak dapat kita baca, dengar dan lihat melalui media cetak dan juga elektronik.
  2. Saya amat bersetuju dengan cadangan Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus untuk SPM dan kalau perlu PMR. Pengamatan saya, kebolehan berbahasa Inggeris dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah berada di tahap yang amat membimbangkan, tidak seperti di zaman persekolahan saya dulu. Kalau masalah ini tidak ditangani dengan secepat mungkin, kalaulah ianya dibiarkan tanpa sebarang langkah dan usaha yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membantu anak bangsa, maka dalam sedikit masa lagi kita akan dibebani dengan limpahan tenaga kerja yang walaupun tidak kurang kebolehannya jika dibandingkan dengan bangsa lain, tetapi akan ketinggalan dan tercicir dalam merebut peluang pekerjaan, dan mungkin juga tewas dalam persaingan perniagaan.
  3. Sejak dulu saya memang menyokong ide Che Det yang mahukan Matematik dan Sains diajar di dalam bahasa Inggeris. Memang itulah yang sebaiknya, mempersiapkan anak bangsa untuk mampu bersaing dengan bangsa lain, bukan hanya bangsa Cina, India, Jepun dan Korea, tetapi juga bangsa Eropah, Australia dan Amerika. Ide serta konsep yang dianjurkan Tun amatlah baik dan tepat pada masanya. Cuma, seperti biasa, seperti juga dasar kerajaan yang lain, kita gagal untuk melaksanakan dasar-dasar tersebut sebaik mungkin, mentaliti Melayu yang mudah selesa, mudah kompromi dan sikap "tidak apa" dalam melaksanakan setiap tanggungjawab telah merosakkan perancangan dan ide Che Det, ide yang pada dasarnya begitu baik dan dapat melonjak kebolehan anak bangsa. Pendek kata, kerajaan telah gagal dalam melaksanakan dasar tersebut.
  4. Sebelum kita terfikir untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib, saya berpendapat, persiapan, persediaan dan latihan secukupnya perlu diberikan kepada guru-guru yang bakal memikul tanggungjawab yang berat ini. Berat bagi saya disebabkan kaji selidik secara peribadi saya telah membuahkan kesimpulan bahawa tahap pemahaman dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru berada di tahap yang paling menyedihkan. Bukanlah saya ingin menghina golongan guru, tetapi inilah hakikatnya. Bukanlah 100 peratus guru di Malaysia ini lemah dalam bahasa Inggeris, tetapi sebahagian besar, majoriti guru-guru, khasnya guru berbangsa Melayu adalah terlalu lemah di dalam menguasai bahasa ini.
  5. Saya mencadangkan agar guru-guru diberi latihan khas, dipastikan supaya benar-benar arif dan faham serta benar-benar mengusai bahasa Inggeris ini sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib. Kalau tidak, saya yakin yang pelajar sekolah, terutamanya pelajar Melayu akan tercicir dan ketinggalan. Diwaktu guru-guru berduyun-duyun ke bank mengambil gaji ribuan ringgit, anak-anak bangsa akan terus tercicir dan ketinggalan, akan terus jadi mat despatch dan mat rempit, bohsia dan bohjan kerana gagal untuk mendapatkan pekerjaan di era pasaran terbuka dan kesamarataan ONE MALAYSIA ini.
  6. Terus terang saya nyatakan di sini, saya hairan kenapa guru-guru Melayu, khasnya guru baru yang terdiri dari anak-anak muda ini begitu lemah di dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris saya juga tidaklah sehebat mana, tetapi sekurang-kurangnya saya mampu untuk membaca dan faham akhbar dan majalah berbahasa Inggeris, malah saya lebih selesa membaca akhbar berbahasa Inggeris. Saya mampu untuk faham bila mendengar berita bahasa Inggeris di radio, saya mampu faham apa yang diperkatakan di TV dan panggung wayang, tanpa perlu membaca subtitle. Sekurang-kurangnya saya mampu untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris walau kadang-kadang tersasul dan tergagap.
  7. Saya berpendapat, penguasaan bahasa Inggeris sewajibnya bermula di rumah. Mungkin disebabkan itu jugalah maka tahap penguasaan bahasa Inggeris saya bolehlah juga dibanggakan. Saya amat bersyukur mempunyai seorang bapa (kini arwah) yang mampu untuk menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris ini amat penting dan memberikan latihan sebaiknya untuk anak-anak beliau.
  8. Saya masih ingat, semasa saya masih kecil iaitu semasa baru di peringkat tadika, saya dan adik saya dihantar ke tadika di mana 90 peratus murid-muridnya adalah terdiri dari kanak-kanak Cina dan India. Semua matapelajarannya diajar di dalam bahasa Inggeris kecuali bahasa Melayu. Saya masih ingat, arwah Tn Hj Abd Rahman b Rejab, bapa saya, setiap minggu akan membelikan saya dan adik bongsu saya komik Beano dan Dandy (entah masih dalam penerbitan lagi, saya kurang pasti) di samping komik Bujal dan Bambino. Saya masih ingat, ketika umur saya 10 tahun, saya tidak pernah terlepas majalah Shoot!. Tak akan dapat saya lupa arwah bapa saya setiap hari membelikan 4 suratkhabar, Utusan, Berita Harian, Star dan New Straits Times. Saya, adik saya serta kakak-kakak saya dilatih dari awal lagi untuk menguasai bahasa Inggeris, arwah bapa saya bergolok bergadai, berhutang untuk memastikan anak-anaknya mampu untuk berbahasa Inggeris.
  9. Saya ingin mengajak anda sekelian, ayuh kita mula untuk melatih dan mendedahkan anak-anak kita kepada bahasa Inggeris. Cubalah sedaya upaya, setakat termampu. Perkara ini harus dijadikan misi besar kita dalam membesarkan anak-anak. Saya merayu pada anda sekelian, agar bangsa kita akan terus maju, akan terus di hadapan. Saya tidak rela Melayu dipandang rendah dan hina, saya tak rela anak bangsa kita diperlekeh dah dipinggirkan. Ayuhlah Melayu, Ayuh bangsaku, ayuh kita korbankan sedikit masa dan wang ringgit demi masa depan bangsa.

Wednesday, June 03, 2009

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN IHSAN MANGSA BANJIR

  1. Tarikh 28 Mei yang lepas telah melakar satu lagi sejarah di DUN Dusun Tua. Hampir 1 ribu keluarga telah menerima bantuan ihsan sebanyak RM1,000.00 bagi setiap keluarga dari kerajaan Persekutuan. Bantuan tersebut disalurkan kepada mangsa banjir yang telah melanda seluruh DUN Dusun Tua pada 13 Mac yang lepas, banjir paling teruk sejak 15 tahun.
  2. Walaupun agak terlewat, pujian harus diberikan kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, YB Johan b Abd Aziz yang telah bertungkus lumus memohon dan merayu bantuan tersebut dipercepatkan. Saya tidaklah berniat untuk mengampu atau membodek, tetapi hakikatnya kalau usaha ini tidak di terajui dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab oleh YB Ketua Bahagian, saya pasti, bantuan atau peruntukan yang disalurkan ke akar umbi tidak akan sebanyak ini. RM1,000.00 untuk hampir 1000 keluarga bermakna pada petang 28 Mei tersebut, hampir 1 juta ringgit telah diserahkan kepada rakyat.
  3. Namun begitu, terdapat beberapa rungutan daripada orang ramai yang hadir. Maklumlah, ada yang sudah sedia menunggu di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara, Dusun Tua sejak jam 12.30 tengahari, padahal jemputan rasmi untuk semua penerima adalah pada jam 2.00 petang...!!!
  4. Saya akui, keadaan di Dewan IKBN ketika itu tidaklah begitu selesa. Dengan cuaca yang begitu panas dan kehadiran orang ramai yang bersesak-sesak, saya amat faham dan mengerti keluhan orang ramai. Kalau saya berada di tempat penerima bantuan tersebut, saya pasti saya juga akan merasa tidak selesa, dan pastinya darah saya juga begitu mudah untuk mendidih.
  5. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan tahap kesabaran yang begitu tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua yang hadir. Bukanlah niat UMNO Bahagian Hulu Langat untuk sengaja melewat-lewatkan penyerahan bantuan tersebut. Saya faham, menunggu hampir 2 jam untuk menerima bantuan bukanlah sesuatu yang boleh dilalui dengan mudah.
  6. Pihak UMNO Bahagian Hulu Langat bukanlah cuba untuk memberikan alasan di atas kelewatan tersebut. Bukan juga untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Hakikatnya, wang tunai untuk diserahkan kepada semua mangsa banjir tersebut sepatutnya tiba pada jam 12 tengahari. Tetapi, entah kenapa, wang tunai tersebut, yang jumlahnya hampir mencecah RM1 juta, hanya tiba di IKBN pada jam 3.40 petang. Saya mohon anda sekelian cuba untuk memahami situasi tersebut, di mana petugas-petugas terpaksa bekerja dengan pantas untuk memastikan jumlah wang tunai yang diterima mencukupi dan kemudian harus di agihkan pula mengikut kaunter. Kesimpulannya, banyak masa telah terbuang akibat daripada kelewatan tiba wang tunai tersebut.
  7. Sekali lagi, saya bagi pihak UMNO Bahagian Hulu Langat ingin memohon ribuan maaf di atas kelewatan tersebut, walaupun ianya bukanlah seratus peratus berpunca dari pihak kami. Maaf dan terima kasih di atas kesabaran tuan-tuan dan puan-puan.
  8. Semoga segala kelemahan dan kekurangan yang dialami oleh orang ramai pada hari tersebut, tidak akan berulang lagi di masa depan.

BERTEMU KEMBALI

  1. Lebih sebulan saya tidak menulis. Mohon maaf kepada semua. Kesibukan menghalang saya untuk terus menulis dan memberi pendapat serta pandangan berkenaan politik semasa.
  2. Walaubagaimanapun, saya akan terus mencuba untuk mencari kelapangan untuk terus memberikan buah fikiran. Semoga anda sekelian dapat bersabar, bukanlah niat saya untuk berdiam diri untuk sekian lama.
  3. Saya berharap di masa akan datang saya masih mampu untuk menyumbang ide dan pandangan, doakanlah agar saya sentiasa diberi kelapangan untuk berbuat demikian.
  4. Sekali lagi saya memohon maaf.