Wednesday, June 10, 2009

ENGLISH AS A SECOND LANGUAGE

  1. Seluruh negara memperkatakan perihal Bahasa Inggeris kebelakangan ini. Bermacam kenyataan, cadangan, permintaan dan juga tuntutan dari pelbagai pihak dapat kita baca, dengar dan lihat melalui media cetak dan juga elektronik.
  2. Saya amat bersetuju dengan cadangan Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus untuk SPM dan kalau perlu PMR. Pengamatan saya, kebolehan berbahasa Inggeris dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah berada di tahap yang amat membimbangkan, tidak seperti di zaman persekolahan saya dulu. Kalau masalah ini tidak ditangani dengan secepat mungkin, kalaulah ianya dibiarkan tanpa sebarang langkah dan usaha yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membantu anak bangsa, maka dalam sedikit masa lagi kita akan dibebani dengan limpahan tenaga kerja yang walaupun tidak kurang kebolehannya jika dibandingkan dengan bangsa lain, tetapi akan ketinggalan dan tercicir dalam merebut peluang pekerjaan, dan mungkin juga tewas dalam persaingan perniagaan.
  3. Sejak dulu saya memang menyokong ide Che Det yang mahukan Matematik dan Sains diajar di dalam bahasa Inggeris. Memang itulah yang sebaiknya, mempersiapkan anak bangsa untuk mampu bersaing dengan bangsa lain, bukan hanya bangsa Cina, India, Jepun dan Korea, tetapi juga bangsa Eropah, Australia dan Amerika. Ide serta konsep yang dianjurkan Tun amatlah baik dan tepat pada masanya. Cuma, seperti biasa, seperti juga dasar kerajaan yang lain, kita gagal untuk melaksanakan dasar-dasar tersebut sebaik mungkin, mentaliti Melayu yang mudah selesa, mudah kompromi dan sikap "tidak apa" dalam melaksanakan setiap tanggungjawab telah merosakkan perancangan dan ide Che Det, ide yang pada dasarnya begitu baik dan dapat melonjak kebolehan anak bangsa. Pendek kata, kerajaan telah gagal dalam melaksanakan dasar tersebut.
  4. Sebelum kita terfikir untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib, saya berpendapat, persiapan, persediaan dan latihan secukupnya perlu diberikan kepada guru-guru yang bakal memikul tanggungjawab yang berat ini. Berat bagi saya disebabkan kaji selidik secara peribadi saya telah membuahkan kesimpulan bahawa tahap pemahaman dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru berada di tahap yang paling menyedihkan. Bukanlah saya ingin menghina golongan guru, tetapi inilah hakikatnya. Bukanlah 100 peratus guru di Malaysia ini lemah dalam bahasa Inggeris, tetapi sebahagian besar, majoriti guru-guru, khasnya guru berbangsa Melayu adalah terlalu lemah di dalam menguasai bahasa ini.
  5. Saya mencadangkan agar guru-guru diberi latihan khas, dipastikan supaya benar-benar arif dan faham serta benar-benar mengusai bahasa Inggeris ini sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib. Kalau tidak, saya yakin yang pelajar sekolah, terutamanya pelajar Melayu akan tercicir dan ketinggalan. Diwaktu guru-guru berduyun-duyun ke bank mengambil gaji ribuan ringgit, anak-anak bangsa akan terus tercicir dan ketinggalan, akan terus jadi mat despatch dan mat rempit, bohsia dan bohjan kerana gagal untuk mendapatkan pekerjaan di era pasaran terbuka dan kesamarataan ONE MALAYSIA ini.
  6. Terus terang saya nyatakan di sini, saya hairan kenapa guru-guru Melayu, khasnya guru baru yang terdiri dari anak-anak muda ini begitu lemah di dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris saya juga tidaklah sehebat mana, tetapi sekurang-kurangnya saya mampu untuk membaca dan faham akhbar dan majalah berbahasa Inggeris, malah saya lebih selesa membaca akhbar berbahasa Inggeris. Saya mampu untuk faham bila mendengar berita bahasa Inggeris di radio, saya mampu faham apa yang diperkatakan di TV dan panggung wayang, tanpa perlu membaca subtitle. Sekurang-kurangnya saya mampu untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris walau kadang-kadang tersasul dan tergagap.
  7. Saya berpendapat, penguasaan bahasa Inggeris sewajibnya bermula di rumah. Mungkin disebabkan itu jugalah maka tahap penguasaan bahasa Inggeris saya bolehlah juga dibanggakan. Saya amat bersyukur mempunyai seorang bapa (kini arwah) yang mampu untuk menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris ini amat penting dan memberikan latihan sebaiknya untuk anak-anak beliau.
  8. Saya masih ingat, semasa saya masih kecil iaitu semasa baru di peringkat tadika, saya dan adik saya dihantar ke tadika di mana 90 peratus murid-muridnya adalah terdiri dari kanak-kanak Cina dan India. Semua matapelajarannya diajar di dalam bahasa Inggeris kecuali bahasa Melayu. Saya masih ingat, arwah Tn Hj Abd Rahman b Rejab, bapa saya, setiap minggu akan membelikan saya dan adik bongsu saya komik Beano dan Dandy (entah masih dalam penerbitan lagi, saya kurang pasti) di samping komik Bujal dan Bambino. Saya masih ingat, ketika umur saya 10 tahun, saya tidak pernah terlepas majalah Shoot!. Tak akan dapat saya lupa arwah bapa saya setiap hari membelikan 4 suratkhabar, Utusan, Berita Harian, Star dan New Straits Times. Saya, adik saya serta kakak-kakak saya dilatih dari awal lagi untuk menguasai bahasa Inggeris, arwah bapa saya bergolok bergadai, berhutang untuk memastikan anak-anaknya mampu untuk berbahasa Inggeris.
  9. Saya ingin mengajak anda sekelian, ayuh kita mula untuk melatih dan mendedahkan anak-anak kita kepada bahasa Inggeris. Cubalah sedaya upaya, setakat termampu. Perkara ini harus dijadikan misi besar kita dalam membesarkan anak-anak. Saya merayu pada anda sekelian, agar bangsa kita akan terus maju, akan terus di hadapan. Saya tidak rela Melayu dipandang rendah dan hina, saya tak rela anak bangsa kita diperlekeh dah dipinggirkan. Ayuhlah Melayu, Ayuh bangsaku, ayuh kita korbankan sedikit masa dan wang ringgit demi masa depan bangsa.

1 comment:

-M- said...

Spot on!

Penguasaan sesuatu bahasa memerlukan banyak latihan dari segi percakapan harian, membaca dan menulis jika perlu. Tak cukup setakat pembelajaran di dalam kelas saja.

Bagi seorang pelajar, 3 golongan yang penting dalam pergaulan hariannya adalah ;

Guru - yang memainkan peranan yang besar, kalau guru macam ketam, anak2 ketam pasti tak dapat jalan lurus. Jadi saya sangat setuju mereka perlu lebih mahir dalam memberi tnjuk ajar.

Rakan2 - kalau lebih suka mengutuk bila pelajar tersebut berbahasa inggeris, pasti akan melemahkan semnagat pelajar itu.

Keluarga - juga perlu memberikan sokongan kepada pelajar tersebut agar lebih selesa dan tidak malu untuk cuba mempraktikkan pengunaan bahasa tersebut.

Saya menyokong kepentingan Bahasa Inggeris.. tapi tepuk dada tanya selera la.. 3 golongan ni sudah sama bersedia ke?